PERJALANAN KU














Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Yang saya hormati kepada semua tetamu yang sudi melawati Blog peribadi saya.

Sebagai mukadimah pembuka bicara, dengan rasa rendah dirinya saya perkenalkan diri. Siti binti Abdul Malit berkelahiran Sabah dan beragama Islam.

Perjalanan pendidikan Siti adalah dengan kelayakan Diploma Vocational Training dan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian (BPM(HONS)).

Pengalaman Kerjaya

Kehidupan Kerjaya Siti adalah bermula sebagai :

~ Tenaga Pengajar Bidang Teknikal selama 5 tahun di GIATMARA Kota Marudu

~ Pernah bertugas di GIATMARA Kudat, Tuaran, Tenom, Papar,  Sabah selama 11 tahun.

~ Seterusnya di GIATMARA Bukit Mertajam, Pulau Pinang selama 3 tahun

~ Pengurus Latihan GIATMARA Kubang Pasu, Kedah selama 11 bulan

~ Pegawai Perhubungan Industri selama 2 tahun 8 bulan hingga kini.


Pengalaman Hidup


Sepanjang menjalani kehidupan berkerjaya, terdapat beberapa kenangan manis yang sukar dilupakan, antaranya, Siti menerima tawaran sebagai seorang Guru Teknikal di GIATMARA Kota Marudu, Sabah pada November 1993 dan ditawarkan kenaikan pangkat selepas 5 tahun berkhidmat.

Satu kenangan yang sentiasa segar dalam ingatan Siti ialah dijemput menjadi tetamu Allah bersama suami tersayang menunaikan rukun Islam ke lima - Fardhu Haji 2013.



Melancong  satu hobi buat Siti dimana Siti dapat melihat keagungan ciptaan Allah SWT diserata tempat dan juga Siti dapat melihat suasana berlainan budaya dan tradisi disamping mempelajari sesuatu yang berbeza dengan budaya Melayu.
















KISAH PERBUALAN ANTARA RASULULLAH S.A.W DENGAN IBLIS



Telah diceritakan bahawa Allah s.w.t. telah menyuruh iblis laknatullah datang kepada Nabi Muhammad s.a.w agar menjawab segala pertanyaan yang baginda tanyakan padanya. Pada suatu hari Iblis laknatullah pun datang kepada Baginda s.a.w. dengan menyerupai orang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat.

Bertanya Rasulullah s.a.w, "Siapakah kamu ini ?"
Orang tua itu menjawab, "Aku adalah iblis."
"Apa maksud kamu datang berjumpa aku ?"
Orang tua itu menjawab, "Allah menyuruhku datang kepadamu agar kau bertanyakan kepadaku."

Baginda Rasulullah s.a.w lalu bertanya, "Hai iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umat-umatku ?"
Iblis menjawab, "Lima belas."

1. Engkau sendiri hai Muhammad.
2. Imam dan pemimpin yang adil.
3. Orang kaya yang merendah diri.
4. Pedagang yang jujur dan amanah.
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
6. Orang Mukmin yang memberi nasihat.
7. Orang yang Mukmin yang berkasih-sayang.
8. Orang yang tetap dan cepat bertaubat.
9.     Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
10. Orang Mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
11. Orang Mukmin yang banyak bersedekah dan berderma.
12. Orang Mukmin yang baik budi dan akhlaknya.
13. Orang Mukmin yang bermanfaat kepada orang.
14. Orang yang hafal al-Quran serta selalu membacanya.
15. Orang yang berdiri melakukan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur.

Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya lagi, "Berapa banyakkah temanmu di kalangan umatku ?"
Jawab iblis laknatullah, "Sepuluh golongan :-

1. Hakim yang tidak adil.
2. Orang kaya yang sombong.
3. Pedagang yang khianat.
4. Orang pemabuk/peminum arak.
5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
6. Pemilik harta riba'.
7. Pemakan harta anak yatim.
8. Orang yang selalu lengah dalam mengerjakan solat/sering meninggalkan solat.
9. Orang yang enggan memberikan zakat/kedekut.
10. Orang yang selalu berangan-angan dan khayal dengan tidak ada faedah.

Mereka semua itu adalah sahabat-sahabatku yang setia."
Itulah di antara perbualan Nabi dan iblis laknatullah. Sememangnya kita maklum bahawa sesungguhnya Iblis laknatullah itu adalah musuh Allah s.w.t. dan manusia. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati jangan sampai kita menjadi kawan iblis laknatullah, kerana sesiapa yang menjadi kawan iblis laknatullah bermakna menjadi musuh Allah s.w.t.. Demikianlah sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis laknatullah bererti menjadi kawan kekasih Allah s.w.t..


KISAH JUJUR SAUDAGAR PERMATA

Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat. Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang diamanahkan tuannya tadi. Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta mengurangkan harganya tadi. Ditengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga barang ini kamu beli?"

Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham." "Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar Yunus lagi. "Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga yang empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah lima ratus dirham." Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah s.w.t. atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar Yunus lagi.

"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia dipihak yang benar. Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap diri kita sendiri."
Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayat lima imam kecuali imam Nasa'i)


KISAH NAMA NABI NUH


Nama asal Nabi Nuh a.s. bukanlah Nuh, tetapi suatu nama lain yang tidak banyak di ketahui,
meskipun Allah s.w.t. menyebut nama Nuh dalam Al-Quran.

Dalam bahasa Arab, makna "Nuh" ialah raungan atau tangisan yang berterusan. Mengapa Nabi Allah itu di panggil Nuh mempunyai kisahnya yang sangat menarik dan menjadi contoh yang berguna untuk umat manusia seluruhnya.

Pada suatu hari seekor anjing yang sangat ganjil lalu di hadapannya. Rupa anjing itu tidak seperti anjing-anjing biasa yang lain. Ia bermata empat dan sudah tentu menarik perhatian ramai termasuk Nabi Nuh a.s. sendiri pada zaman itu. Nabi Nuh pun menyuruh anjing itu berhenti di depannya lalu bertanya :
 "Wahai anjing, aku lihat muka kau ni begitu hodoh, mata engkau empat tidak seperti anjing yang lain. Mengapa jadi begini?.

Anjing itu pun menjawab : "Kau tanyalah siapa yang menjadikan aku. Kau fikir aku yang menghendaki mukaku hodoh begini?. Tanyalah tuhan yang menjadikan aku dan juga yang menjadikan engkau."

Nabi Nuh a.s pun meraung mendengarkan jawapan anjing hodoh itu, ia menagis tidak henti-henti . Terasa benar kesalahannya mengkritik kejadian Tuhan.

Dia memohon keampunan dari Allah s.w.t. diatas pertanyaanya yang tidak sengaja. Sejak itu namanya pun di panggil Nuh (raungan) dan kekallah namanya Nabi Nuh di abadikan dalam Al-Quran dan diampunkan dosanya oleh Allah s.w.t.

CERITA PENGEMIS DAN ISTERI CANTIK


Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka.

"Tolonglah encik, saya lapar, sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi."
Dengan muka bengis, si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu.

Dalam hatinya berkata "Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri dan keluargaku."

Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin.
Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya.

Setahun kemudian, isteri yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain.
Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan.
Mendengar rayuan pengemis itu si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan.

Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis itu, si isteri menangkup muka sambil menangis. Si isteri mengadu si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suamiya yang dulu pernah menengking seorang pengemis.

Suami yang baru itu menjawab dengan tenang.
"Demi Allah, sebenarnya akulah pengemis yang dihalau dan ditengking dulu!".

Cerita ini memberi pengajaran bahawa hidup kita seperti putaran roda dan tidak selalunya diatas.
Ada masa ketikanya kita akan turun kebawah dan naik semula atau sebaliknya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : "Sedekah itu dapat menutup tujuh puluh ribu kejahatan".

 Anas b. Malik pula meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w ada bersabda bermaksud : "Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dengan kekayaannya, barang siapa yang mempunyai ilmu, maka bersedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga, bersedekahlah dengan tenaganya".

KISAH LIMA PERKARA ANEH



Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang mahsyur.  Suatu ketika dia pernah berkata ayahku  menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi “ esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki  berbuat :

Pertama  :  apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah.
Kedua     : Engkau sembunyikan
Ketiga     : Engkau terimalah
Keempat : Jangan Engkau putuskan harapan
Kelima     : Larilah Engkau daripadanya.”


Pada keesokan harinya Nabi itupun keluarlah dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama yang dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata “ aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan.” Maka nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya.  Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka nabi itu pun mengambilnya lalu di suapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur ‘Alhamdulillah’.

Kemudian nabi itupun meneruskan perjalanannya dan bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan.  Lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang dan ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula  sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, “ Aku telah melaksanakan perintahMu”. Lalu dia pun meneruskan  perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata , “ Wahai Nabi Allah tolonglah aku.” Mendengar rayuan itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihat keadaan itu, lantas burung helang datang menghampiri Nabi lalu berkata. “ Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku.” Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pahanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Ya Allah aku telah pun melaksanakan perintahmu sebagaimana yang diberitahu dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.”

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T bahawa:

Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya Nampak besar seperti bukit tetapi  akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal iaitu menahannya, maka marah itu akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua, semua amal kebaikan(budi) walau disembunyikan, maka ia tetap akan Nampak jua.

Ketiga, jika sudah menerima amanah  seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat, jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah  untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri  berhajat.

Kelima, bau yang busuk itu ialah ghibah ( menceritakan hal seseorang) maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.”

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, kerana kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan seharian kita. Perkara yang tidak dapat kita elakkan  setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat  seseorang itu suka mengata hal  orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita sebab ada sebuah hadis mengatakan bahawa :

Diakhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, “ Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu.”Maka berkata Allah S.W.T, “ ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.”

" Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walau apa pun yang kita kata itu memang benar, tetapi kata mengata itu akan merugikan diri kita sendiri . Oleh itu, janganlah kita mengata hal keburukan  orang walaupun ia benar".

Wallahu a’lam..



KISAH IMAM ABU HANIFAH DENGAN BUDAK KECIL


Al-Imam Abu Hanifah rahimahullahu anhu. Satu hari ketika beliau sedang berjalan, tiba-tiba ternampak oleh beliau seorang kanak-kanak sedang berjalan dengan memakai kasut kayu. Beliau seraya menegur budak tersebut dengan mengatakan :

" Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayumu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti "

Budak tersebut mengucapkan terima kasih di atas perhatian al-Imam kepadanya. Budak itu tiba-tiba bertanya :
"Wahai Tuan, siapakah nama tuan?"

Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab :
"Namaku Nu'man "

"Oh, rupa-rupanya tuanlah yang digelar al-Imam al-A'dzam ( Imam Yang Sangat Hebat) itu?"budak itu bertanya kembali kepada al-Imam Abu Hanifah.

Al-Imam Abu Hanifah lalu menjawab :

"Bukan aku yang meletakkan gelaran tersebut. Namun orang ramai yang bersangka baik denganku meletakkannya"

Budak itu lalu menjawab :

"Wahai Imam, janganlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaranmu itu, aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekalipun hanya di dunia semata-mata.. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah taala lantaran angkuh dan berbangga-bangga"

Menangis al-Imam Abu Hanifah rahimahullahu anhu mendengar nasihat daripada kanak-kanak kecil tersebut.
Allahu Allah..Moga kita juga dapat mengambil akhlak dan peribadi al-Imam Abu Hanifah al-Imam al-A'dzam ini...

Terima Kasih atas baik sangka orang  kepada kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...